Sunday, 16 November 2008

Dunia Diambang Kemelesetan

OLEH Hafizahril Hamid

Bidang automotif antara sektor yang menerima tempias paling teruk dalam krisis ekonomi global.

PENGARUH dan penghormatan yang diterima sesebuah negara di dunia tidak dapat tidak pastinya berpunca dari kekayaan dan kemakmuran ekonomi yang dinikmati.

Sememangnya sejak bermulanya tamadun manusia, kayu pengukur yang sering menjadi alat menentukan darjat dan kedudukan seseorang atau sesebuah kaum pastinya bersandarkan kekayaan yang dimiliki.

Sejarah turut mencatatkan penjajahan dan perluasan kuasa oleh sesebuah negara adalah akibat keinginan untuk menguasai sumber ekonomi sekali gus menjadikan sesebuah tamadun dan bangsa itu dihormati dan berkuasa.

Begitu jugalah yang berlaku dalam era moden kini apabila negara-negara Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) masih terus mendominasi bidang ekonomi sehingga kini.

Ini membolehkan mereka turut menguasai bidang-bidang lain yang boleh digunakan bagi meningkatkan penguasaan mereka sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai "tuan" di muka bumi.

Namun kini keadaan semakin mendesak apabila keadaan ekonomi dunia kini di ambang kemelesetan malah dikatakan paling teruk sejak "The Great Depression" yang berlaku sekitar tahun 1930-an.

Seluruh negara di dunia kini mengeluh dan "berpeluh" tentang ancaman kemelesetan yang berlaku dan pelbagai tindakan dan strategi diambil bagi mengelakkan situasi ini dari semakin memburuk.

Krisis ekonomi ini juga akan turut menjejaskan sektor perdagangan dan perniagaan yang menjadi nadi penting dalam ekonomi sesebuah negara akibat kurangnya perbelanjaan berikutan hilangnya kuasa beli pengguna.

Lebih membimbangkan krisis kali ini dijangka mengakibatkan jumlah mereka yang kehilangan pekerjaan lebih tinggi berbanding krisis sebelum ini.

Terbaru laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berdasarkan pemantauan yang dilakukan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) tentang situasi ekonomi antarabangsa, lebih 20 juta penduduk dunia akan kehilangan pekerjaan tahun depan kesan dari ekonomi yang suram.

Industri pembinaan, hartanah, khidmat kewangan dan automotif akan terjejas teruk dan semua ini dijangka semakin parah menjelang suku pertama tahun depan.

Jumlah penduduk dunia yang hilang pekerjaan dijangka meningkat kepada 210 juta pada penghujung tahun depan daripada 190 juta tahun lepas.

Bagaimanapun jumlah ini dijangka meningkat jika IMF terpaksa memotong perbelanjaan menyelamatkan ekonomi beberapa negara yang kini semakin tenat seperti Pakistan dan negara-negara di Eropah Tengah.

Krisis kali ini perlu melihat kepada apa sebenarnya yang berlaku kepada masyarakat serta kedudukan pekerjaan dan syarikat yang memberi pekerjaan kepada mereka.

Perbincangan perlu dilakukan bagi mencari jalan penyelesaian dengan mewujudkan peluang pekerjaan serta pelan pemulihan ke arah mewujudkan "ekonomi sebenar" yang lebih adil.

Mengeruhkan

Ini kerana ia membabitkan isu kemanusiaan dan kelangsungan hidup orang ramai dan ia tidak boleh diselesaikan dengan cara seperti mana yang berlaku dalam krisis sub prima bilamana cara penyelesaiannya dilakukan dengan melaksanakan polisi sub prima yang akhirnya mengeruhkan lagi keadaan.

Langkah pemulihan ekonomi kali ini mestilah dilakukan secara global, selaras, fleksibel dan pantas kerana jika semua faktor yang dinyatakan di atas tidak dilakukan seiring ia hanya melambatkan lagi kesan pemulihan.

Bagaimanapun negara-negara yang mempunyai pasaran domestik yang besar yang tidak terlalu bergantung kepada pasaran eksport seperti China dijangka tidak akan melalui kesan yang ketara.

Ini kerana pasaran eksport China hanya berjumlah 11 peratus dari jumlah keseluruhan ekonomi negara itu.

Industri termasuk sektor kecil dan sederhana (SME) perlu menumpukan haluan mereka dengan memulihkan kembali sektor pekerjaan manakala sektor perbankan pula perlu kembali kepada fungsi asal mereka iaitu sebagai pemberi pinjaman daripada terlalu menumpukan kepada melakukan pelaburan dalam urusniaga yang menguntungkan.

Negara kuasa besar ekonomi seperti AS, Jepun dan negara-negara Eropah dijangka lebih terkesan dan mungkin berlarutan akibat kemelesetan ekonomi kali ini.

Iklim pertumbuhan ekonomi dunia dijangka hanya berlegar di paras satu peratus tahun depan dan negara-negara maju pula dijangka akan mengalami pertumbuhan sekitar 0.1 peratus.

Pertumbuhan ekonomi AS akan menguncup kepada 0.9 peratus pada tahun depan manakala ekonomi Jepun kepada 0.1 peratus.

Negara-negara di Eropah pula akan mengalami pertumbuhan sekitar 0.5 peratus.

Bagaimanapun keadaan dijangka semakin pulih pada 2010 dengan pertumbuhan dijangka meningkat sebanyak 1.6 peratus di AS, Eropah 1.2 peratus dan negara ekonomi kedua terbesar dunia, Jepun pula meningkat kepada 0.6 peratus.

Berkemungkinan suasana ekonomi dijangka menjadi lebih baik sedikit pada suku ketiga dan keempat tahun depan.

Ini kerana kadar inflasi akan lebih sederhana dan dibantu dengan stimulasi makro ekonomi tambahan yang diperlukan setelah pemotongan cukai diberikan kepada mereka yang dibebani masalah hutang sekali gus mencergaskan kembali pergerakan ekonomi.

Ketika ini pelbagai langkah dilakukan di kebanyakan negara bagi memulihkan ekonomi mereka terutama dalam industri perbankan seperti melaksanakan suntikan dana dan jaminan kredit bagi menstabilkan semula kedudukan bank- bank bagi memulihkan semula operasi pinjaman.

Dalam pada itu pengumuman Bank Dunia untuk meneruskan komitmen mereka membantu negara-negara yang terpalit dalam masalah ini sedikit sebanyak melegakan banyak pihak.

Jaminan komitmen untuk meneruskan usaha pelan pemulihan dengan bantuan dana sebanyak AS$100 bilion dalam tempoh tiga tahun dijangka akan melindungi negara-negara miskin dan negara-negara yang berhadapan dengan masalah belanjawan dalam negara yang merudum serta membantu mengekalkan pelaburan jangka panjang yang diperlukan dalam usaha pelan pemulihan dan pembangunan semula.

Pelan pemulihan ini perlu dilakukan secara selari oleh semua negara terlibat bagi meringankan beban yang ditanggung serta memudahkan lagi proses pemulihan.

Dengan pelaburan asing yang dijangka semakin berkurangan dari AS$1 trilion (RM3.5 trilion) tahun lepas kepada AS$530 bilion (RM1.8 trilion) tahun depan adalah sangat perlu semua negara yang terlibat memainkan peranan secara bersama bagi mengatasi kesan yang lebih teruk.

Tempias

Krisis kewangan ini yang bermula di AS akibat dari krisis sub prima namun tempias yang diterima merebak dengan pantas terutama di negara membangun.

Oleh itu Sidang Kemuncak G20 membabitkan negara-negara ekonomi besar dunia yang akan berlangsung di Washington hari ini diharapkan akan menghasilkan beberapa keputusan positif untuk kelangsungan iklim ekonomi dunia.

Sidang kemuncak yang dijadual berlangsung selama dua hari ini turut dibayangi kemerosotan pengaruh Presiden George W. Bush kerana pemimpin dunia sudah pun memandang ke hadapan kepada majlis angkat sumpah bakal Presiden pertama dari golongan kulit hitam, Barack Obama sebagai Presiden AS ke-44 pada 20 Januari ini.

AS dijangka akan mengadakan perbincangan panjang lebar mengenai punca krisis, tindakan jangka pendek yang perlu diambil, tindakan jangka panjang yang perlu dipertimbangkan dan paling penting, persetujuan mengenai prinsip-prinsip asas pembaharuan.

Sidang kemuncak kedua dijangka diadakan sekitar suku pertama tahun depan, kemungkinan besar selepas Obama mengangkat sumpah jawatan.

Pemimpin-pemimpin dunia diharap dapat membincangkan jalan terbaik bagi menangani krisis ekonomi global dan pembaharuan yang perlu dilakukan bagi mencegah berulangnya krisis.

Sekurang-kurangnya dunia masih dalam suasana meraikan kemenangan Obama yang dilihat sebagai satu ikon pembaharuan dalam politik dunia dan adalah diharapkan pemulihan ekonomi dunia kali ini dapat disusun dan digarap menjadi lebih adil dan saksama untuk dikongsi oleh semua negara di dunia.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm

Melayu Pendatang Satu Pemesongan Fakta

KEBELAKANGAN ini banyak benar pihak yang menyoal siapakah Melayu? Apakah Melayu? Dari mana asalnya mereka? Penduduk asalkah mereka di negara ini? Ataupun, sekadar pendatang? Hakikat persoalan ini timbul sejak sekian lama dahulu tidak disangkal lagi. Pelbagai kajian, dari segala sudut pandangan dan perspektif, bahkan metodologi digunakan, untuk merungkai satu pertanyaan yang penulis kira sebenarnya begitu mudah dan jelas.

Sungguhpun demikian, peralihan masa, perubahan landskap politik dan atas kepentingan-kepentingan yang tertentu, sesuatu yang kelihatannya tidak seharusnya timbul, ditimbulkan semula. Penulis tertarik untuk tampil menghuraikan beberapa perkara yang berkaitan dengan Melayu.

Sejarah bangsa Melayu sudah cukup lama. Dua konan Melayu teragung, Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah memerihalkan dengan cukup jelas banyak perkara yang bersangkutan dengan Melayu. Ia ada dibuat secara langsung, dengan menerangkan dan memberikan gambaran-gambaran secara terperinci, manakala sesetengahnya perlu dirumuskan dahulu untuk kita memperoleh maklumat yang lengkap, yang lebih menyeluruh.

Terbentuknya Kerajaan Melayu Melaka merupakan satu hal yang sukar ditolak. Seandainya, digunakan premis mudah menyatakan karya sastera seumpama Sejarah Melayu, yang bukannya sebuah penulisan sejarah secara mutlaknya, merupakan cereka yang mudah dinafikan kebenarannya, catatan sejarah Kesultanan Melayu Melaka tercatat lebih daripada itu.

Banyak buku yang non kreatif, yang bersifat kajian atau penyelidikan - sekiranya konan Sejarah Melayu dikatakan sebuah karya separa kreatif atau kreatif - membuktikan bahawa Kesultanan Melayu Melaka wujud dan amat gilang-gemilang. Pemerintahannya teratur, hubungan dagang dan diplomatiknya dengan dunia luar luas, termasuk hubungannya dengan Kerajaan China yang dikenali besar dan tertua.

Dalam hal ini, Hashim Hj. Musa (Pemerkasaan Tamadun Melayu Malaysia: Menghadapi Globalisasi Barat, Penerbit Universiti Malaya, 2004) memetik Liang Liji (1996), menyentuh hubungan Empayar Melaka-Dinasti Ming Abad ke-15, yang menurutnya, "Hubungan antara China dengan alam Melayu sudah lama wujud, iaitu sebelum permulaan tahun Masihi sejak zaman Dinasti Han (140-117S.M). Semasa pemerintahan Sun Quan (222-252 M), dua orang utusannya telah melawat Funan dan negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu dan Kepulauan Melayu, dan mengadakan hubungan diplomatik dengan mereka."

Catatan ini jelas akan kewujudan Kerajaan Melayu Melaka. Bukti ini penting untuk dikaitkan kemudiannya dengan Melayu, yang apakah hubungannya dengan bangsa pendatang.

Terbukti

Orang-orang Melayu dengan itu terbukti jelas sudah pun mendiami Melaka, dan semua wilayahnya. Melaka diketahui umum berada di Alam Melayu atau disebut juga Malay Archipelago. Alam Melayu meliputi kawasan luas seluruh Nusantara.

Hashim Hj. Musa memetik tulisan Sinom Elegant, A Pyrrhic Victory: The Asian Millenium, Far Eastern Economic Review, Jun 10, 1999 yang menyatakan, "Five centuries ago Malacca hosted 2,000 ships each day, as many as crowd in modern-day Singapore, which boast of being one of the three busiest ports (in the world)…it was a place where Gujratis, Tamils and Bengalis from India lived and traded in cure harmony with Malays, Chinese and Arabs; a city of 100,000 where 84 languages could be heard in the markets. The Malay sultans who ruled Malacca ensured that the Straits (of Malacca) was free from pirates. Goods could be stored safely in hundred of well-guarded godowns, and in case of disputes, the city's law were administrated fairly to both Malaccans dan foreigners (hlm. 136)

Orang-orang Melayu bukan sahaja gemilang di Melaka, malahan bertebaran di seluruh kawasan Nusantara. Dengan yang demikian, tanpa diragukan lagi merekalah yang telah menjadi penduduk asalnya.

Bangsa Melayu telah membina tamadun dan peradaban yang tinggi. Sehubungan dengan ini, penulis suka memetik pandangan A. Aziz Deraman (Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia) yang berbunyi, "Sejarah ketamadunan Melayu yang panjang meninggalkan pusaka kebudayaan yang amat tinggi mutu dan nilainya. Sebagai tamadun yang tinggi, dunia menyaksikan suatu kronologi peradaban yang bermula dari prasejarah menempuhi zaman Seriwijaya, Majapahit, Campa, dan memancarkan cahaya kegemilangannya pada zaman kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15. Melaka sebagai empayar besar, berpengaruh di seluruh Tanah Melayu dan di Sumatera, bertindak sebagai pusat perdagangan antarabangsa yang menghubungkan Barat dengan Timur, pusat penyebaran ilmu, serta disegani oleh semua."

Jelas, catatan tentang Melaka sudah cukup mantap untuk dijadikan bukti kukuh akan kewujudan tamadun dan peradaban Melayu itu. Dengan keterangan di atas, wilayah Melayu itu diketahui luas, sebagaimana yang disebut lebih awal, ia meliputi wilayah yang dinamakan Nusantara.

A. Aziz Deraman selanjutnya menghuraikan, "…bahawa bangsa rumpun Melayu dilandasi oleh ketentuan identiti wilayah ini sebagai Alam Melayu. Wilayah itu jugalah menyerlahkan entiti geografi dan kebudayaan yang satu dengan pengalaman sejarah yang hampir serupa. Apa-apa sahaja nama yang diberikan kepadanya Yavadwipa, Golden Chersonese, Malay Archipelago, Tanah Jawi atau segala nama kuno merupakan petanda wujudnya kesatuan, keutuhan wilayah budaya, dan kewujudan sesuatu entiti dengan struktur dalamannya jelas bersifat Melayu."

Melayu di sini juga harus difahami bukan dalam konteks ras atau kaum. Melayu itu juga bukan lagi satu etnik. Melayu sudah mencakupi satu entiti budaya. Konsep Melayu ialah konsep budaya dan entiti budaya itu. Ia tidak bergantung pada kapasiti ras, etnik atau kaum lagi.

A. Aziz Deraman mengakui, bahawa dari segi fizikal atau rupa bentuk Melayu itu sudah berubah, "Bangsa serumpun Melayu tidak lagi dapat diasaskan pada biologi kerana mungkin sebagai individu kita tidak lagi memiliki seratus peratus darah warisan asli. Kewujudan bangsa terlihat dalam dunia kesarjanaan sebagai satu unit sosiobudaya dengan segala sempadan sejarah dan ketamadunannya…". Hal ini biasa, sementelahan ia berlaku dalam wilayah yang luas, dan kemunculan pelbagai suku dari daerah yang bertaburan itu.

Berasal

Logik bahawa orang-orang Melayu berasal dari pulau Sumatera atau kepulauan lainnya sebagai contoh, sekali gus merupakan logik yang tertolak, dan dangkal. Mereka sebenarnya bergerak atau 'mengalir', tentunya dari satu penempatan ke satu penempatan, dari satu daerah ke satu daerah yang lain, atau dari satu wilayah ke satu wilayah yang dipilihnya. (Realiti ini tidak ubahnya sebagaimana keadaan penduduk dari Kelantan, pada masa kini mengalir ke Terengganu, Pahang bahkan hingga ke Rompin atau ke Kedah dan Perlis di sebelah utara yang membentuk pengaliran atas kapasiti rakyat negara ini. Mereka bukan pendatang.)

Namun, pergerakan atau pengaliran ini masih di dalam satu lingkungan yang sama, yakni Alam Melayu tersebut. Ia berlaku atas pelbagai faktor, antaranya perkahwinan. Disebutkan bahawa setelah Islam datang ke Melaka, dan Melaka menjadi pusat pengembangan Islam yang sangat disegani, berlakulah perkahwinan antara penghuni wilayah-wilayah ini. Pergerakan dan pengaliran yang terjadi ini sudah pasti tidak boleh sama sekali dilihat sebagai pergerakan 'pendatang'.

Pendatang tidak menubuhkan kerajaan. Sejarah kemasukan beberapa etnik ke negara ini sejak zaman-berzaman, yang pada pendapat Hashim Hj. Musa dikatakannya berlaku dalam dua gelombang besar, iaitu pada era pra penjajah dan pada zaman penjajah masih disifatkan sebagai pendatang. Ini disebabkan mereka tidak membentuk atau menubuhkan kerajaan. Mereka mungkin sudah mengasosiasikan diri ke dalam kelompok masyarakat setempat. Sifat asosiasi itu memungkinkan status mereka berubah sehinggakan mereka kemudiannya diterima sebagai Melayu. Definisi Melayu dalam Perlembagaan pula jelas diketahui umum.

Perkara 160, mentafsirkan "Melayu ertinya seseorang yang menganut agama Islam, lazim bercakap Bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu" (Perlembagaan Malaysia, 1986).

Menyifatkan Melayu sebagai pendatang merupakan satu pemesongan fakta yang terang-terangan tidak berasas. Menyamakan keberadaan mereka di dalam lingkungan wilayah mereka sendiri dengan pergerakan etnik yang lain adalah satu pendustaan kebenaran sejarah ketamadunan dan peradaban yang tidak seharusnya diperkotak-katikkan. Ia kelak akan memberi senario yang salah, dari sudut apa-apa pun, tentang penduduk asal Alam Melayu ini. Orang-orang Melayu itu difahami sebagai latar belakang kebudayaannya amatlah besar, wilayahnya yang bertaburan luas, mereka mungkin daripada suku keturunan yang berlainan, ada Minang, ada Aceh, ada Jawa dan ada Bugis, atau lain-lainnya. Tetapi, merekalah Melayu, Melayu yang sangat luas pengertiannya, dalam konsep entiti budaya itu.

Bersandarkan hakikat bahawa Alam Melayu didiami sejak zaman-berzaman, kepelbagaian suku yang mewarna-warnikan kebudayaannya, kedudukan Melayu sebagai bangsa yang bertamadun serta tinggi peradabannya, melihatkan pembentukan kerajaan-kerajaannya, bukti kewujudan Kesultanan Melayu Melaka yang besar di abad ke-15, sejarah pengaliran umatnya yang bertali arus menjejari wilayahnya, dan pengertian Melayu menurut peruntukan Perlembagaan sangat jelas membuktikan bahawa Melayu bukanlah pendatang. Ia tidak menepati sama sekali ciri-ciri atau sifat watak kependatangan itu.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm

Monday, 10 November 2008

Dragon Boat Races Tanjung Pinang 2008

Perlumbaan Bot Naga di Tanjung Pinang, Kepulauan Riau akan di adakan pada 14 hingga 17 November 2008.