Monday, 20 April 2009

Bandung, Kota Paris di Jawa

Keseronokan pelancong Malaysia membeli-belah di Bandung bukanlah perkara biasa, apatah lagi jika mengambil kira nilai mata wang Malaysia yang lebih tinggi berbanding rupiah.

Namun persepsi bahawa ibu kota wilayah Jawa Barat itu adalah syurga kota membeli-belah semata-mata perlu dibuang jauh-jauh.

Lupakan juga tanggapan semulajadi sang jejaka mengenai salah satu keistimewaan Bandung yang terkenal dengan gadis-gadis cantik dan berkulit gebu.

Ini kerana Bandung yang pernah dikenali sebagai Parijs van Java (Paris di Jawa) pada zaman pemerintahan Belanda dahulu boleh disifatkan sebagai destinasi pelancong popular yang merangkumi banyak sektor.

Skop kemasyhuran nama Bandung sangat luas menerusi pelbagai gelaran yang diberikan. Salah satunya, gelaran kota pendidikan di Indonesia apabila memiliki banyak institusi pendidikan tinggi awam dan swasta.

Sebilangan besar universiti Indonesia utama terletak di Bandung. Antaranya ialah Institut Teknologi Bandung (ITB) yang didirikan oleh penjajah Belanda pada tahun 1920 dan terkenal sebagai alma mater Sukarno.

Apa yang menarik, institut pengajian tinggi yang terdapat di Bandung bagaikan padat tanpa anda menyedari bahawa menara dan bangunan tinggi seperti kompleks membeli- belah adalah sebuah universiti.

Beralih kepada gelaran kota seni, Bandung juga telah melahirkan ramai nama penyanyi dan kumpulan muzik yang besar di Indonesia. Sebilangan kumpulan muzik negara jiran itu yang menjadi kegilaan ramai peminat di Malaysia seperti Peterpan, Cokelat dan Gigi berasal dari Bandung.

Malah, penyanyi popular seperti Ruth Sahanaya dan Melly Goeslaw terus berjaya menambahkan jumlah koleksi penggiat seni yang berjaya mengangkat nama Bandung ke peringkat lebih tinggi.

Budaya seni yang tinggi di Bandung juga dapat dilihat menerusi permainan rakyatnya yang popular seperti angklung. Gelaran kota seni itu amat bertepatan ketika pengunjung menikmati kemerduan bunyi muzik daripada persembahan angklung di Saung Angklung Mang Udjo.

Paling mencuit hati, kanak-kanak kecil itu sudah pandai menyanyi, menari dan bermain angklung. Malah persembahan tarian beramai-ramai yang turut melibatkan kanak-kanak berusia tiga tahun cukup menghibur hati pelancong.

Kebolehan mereka menari, menyanyi dan bermain angklung dengan baik amat mengagumkan. Tidak salah rasanya mengangkat persembahan angklung itu paling mengasyikkan bagi sesiapa sahaja yang berpeluang menikmatinya.

Destinasi popular wajib jika anda berkunjung ke Bandung ialah Gunung Tangkuban Parahu. Walaupun terpaksa melalui jalan berliku menuju ke puncak untuk melihat bekas kawah gunung berapi, pengunjung sentiasa berasa dingin dan nyaman apabila dapat menghirup udara gunung.

Panik

Untuk sampai ke puncak, anda perlu menaiki sebuah bas mini unik yang mampu memuatkan seramai 12 penumpang.

Pengunjung tidak perlu panik apabila tiba-tiba terhidu bau belerang yang menusuk hidung apabila anda semakin menghampiri puncak gunung.

Bekas kawah gunung berapi itu sebenarnya telah lama mati namun lopak-lopak air masih terdapat di dalamnya. Pada masa sama, keasyikan anda menikmati pemandangan indah itu terganggu apabila para penjual cenderamata jalanan yang tidak henti-henti mengekori pengunjung.

Dan tentunya bagi yang gemar membeli-belah, beberapa tempat menarik boleh dikunjungi iaitu Jalan Cihampelas yang menawarkan seribu satu macam pakaian daripada kain jeans.

Sepanjang jalan, semua kedai bagaikan berlumba-lumba menghiasi premis mereka dengan objek yang menarik perhatian seperti patung Superman di pintu masuk kedai. Kebanyakan pusat barangan kilang pula terdapat di sekitar Jalan Setiabudi. Antara yang terkenal ialah Summit, Mode, Stamp dan Secret.

Cuma peringatan awal-awal, jangan hadkan masa anda untuk membeli-belah di sini kerana pengunjung akan menjadi tidak tentu arah untuk memilih barangan yang dihajati kerana merasakan semuanya cantik-cantik belaka.

Bagi peminat kain sulam pula, anda tidak akan pulang hampa kerana Bandung juga terkenal sebagai pusat tekstil apabila 60 peratus pengeluaran kain di Indonesia datang dari kota itu.

Paling menarik perhatian, pelancong pasti terpegun dengan gaya pemakaian masyarakat Bandung yang menggilai fesyen terkini walaupun mereka bekerja sebagai pekerja am.

Puas berjalan dan membeli-belah, pelancong perlu mengakui bahawa Bandung juga tidak kurang hebat dengan pelbagai aneka juadah tempatan dan antarabangsa.

Bermula dengan mi kocok, nasi padang, makanan Sunda, laksa, sate dan nasi uduk hinggalah kepada minuman yang menyegarkan tekak.

Jika mahu menikmati makanan ikan bakar ala Sunda dengan suasana persekitaran ala kampung, anda boleh mencubanya di Taman Budaya dan Seni Kampung Daun.

Mencari tempat penginapan pula, terdapat banyak hotel yang cantik untuk anda pilih di Bandung dengan tawaran harga yang berpatutan tetapi selesa.

Antaranya ialah The Majesty Hotel & Apartment, Grand Setiabudi Hotel & Apartment dan Galeri Ciumbuleuit Hotel & Apartment.

Bagaimana ke Bandung? Khabar gembira buat mereka yang gemar melancong apabila AirAsia Indonesia kini menawarkan laluan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura ke Bandung menerusi satu penerbangan setiap hari.

Bermula 24 Mac lalu, syarikat penerbangan tambang murah terus mengukuhkan kehadirannya di rantau ini apabila turut melancarkan serentak tiga laluan barunya dari Bali, Jakarta dan Yogyakarta ke Singapura.

Sumber: Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0419&pub=utusan_malaysia&sec=Pelancongan&pg=pl_01.htm&arc=hive