Sunday, 16 November 2008

Dunia Diambang Kemelesetan

OLEH Hafizahril Hamid

Bidang automotif antara sektor yang menerima tempias paling teruk dalam krisis ekonomi global.

PENGARUH dan penghormatan yang diterima sesebuah negara di dunia tidak dapat tidak pastinya berpunca dari kekayaan dan kemakmuran ekonomi yang dinikmati.

Sememangnya sejak bermulanya tamadun manusia, kayu pengukur yang sering menjadi alat menentukan darjat dan kedudukan seseorang atau sesebuah kaum pastinya bersandarkan kekayaan yang dimiliki.

Sejarah turut mencatatkan penjajahan dan perluasan kuasa oleh sesebuah negara adalah akibat keinginan untuk menguasai sumber ekonomi sekali gus menjadikan sesebuah tamadun dan bangsa itu dihormati dan berkuasa.

Begitu jugalah yang berlaku dalam era moden kini apabila negara-negara Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) masih terus mendominasi bidang ekonomi sehingga kini.

Ini membolehkan mereka turut menguasai bidang-bidang lain yang boleh digunakan bagi meningkatkan penguasaan mereka sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai "tuan" di muka bumi.

Namun kini keadaan semakin mendesak apabila keadaan ekonomi dunia kini di ambang kemelesetan malah dikatakan paling teruk sejak "The Great Depression" yang berlaku sekitar tahun 1930-an.

Seluruh negara di dunia kini mengeluh dan "berpeluh" tentang ancaman kemelesetan yang berlaku dan pelbagai tindakan dan strategi diambil bagi mengelakkan situasi ini dari semakin memburuk.

Krisis ekonomi ini juga akan turut menjejaskan sektor perdagangan dan perniagaan yang menjadi nadi penting dalam ekonomi sesebuah negara akibat kurangnya perbelanjaan berikutan hilangnya kuasa beli pengguna.

Lebih membimbangkan krisis kali ini dijangka mengakibatkan jumlah mereka yang kehilangan pekerjaan lebih tinggi berbanding krisis sebelum ini.

Terbaru laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berdasarkan pemantauan yang dilakukan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) tentang situasi ekonomi antarabangsa, lebih 20 juta penduduk dunia akan kehilangan pekerjaan tahun depan kesan dari ekonomi yang suram.

Industri pembinaan, hartanah, khidmat kewangan dan automotif akan terjejas teruk dan semua ini dijangka semakin parah menjelang suku pertama tahun depan.

Jumlah penduduk dunia yang hilang pekerjaan dijangka meningkat kepada 210 juta pada penghujung tahun depan daripada 190 juta tahun lepas.

Bagaimanapun jumlah ini dijangka meningkat jika IMF terpaksa memotong perbelanjaan menyelamatkan ekonomi beberapa negara yang kini semakin tenat seperti Pakistan dan negara-negara di Eropah Tengah.

Krisis kali ini perlu melihat kepada apa sebenarnya yang berlaku kepada masyarakat serta kedudukan pekerjaan dan syarikat yang memberi pekerjaan kepada mereka.

Perbincangan perlu dilakukan bagi mencari jalan penyelesaian dengan mewujudkan peluang pekerjaan serta pelan pemulihan ke arah mewujudkan "ekonomi sebenar" yang lebih adil.

Mengeruhkan

Ini kerana ia membabitkan isu kemanusiaan dan kelangsungan hidup orang ramai dan ia tidak boleh diselesaikan dengan cara seperti mana yang berlaku dalam krisis sub prima bilamana cara penyelesaiannya dilakukan dengan melaksanakan polisi sub prima yang akhirnya mengeruhkan lagi keadaan.

Langkah pemulihan ekonomi kali ini mestilah dilakukan secara global, selaras, fleksibel dan pantas kerana jika semua faktor yang dinyatakan di atas tidak dilakukan seiring ia hanya melambatkan lagi kesan pemulihan.

Bagaimanapun negara-negara yang mempunyai pasaran domestik yang besar yang tidak terlalu bergantung kepada pasaran eksport seperti China dijangka tidak akan melalui kesan yang ketara.

Ini kerana pasaran eksport China hanya berjumlah 11 peratus dari jumlah keseluruhan ekonomi negara itu.

Industri termasuk sektor kecil dan sederhana (SME) perlu menumpukan haluan mereka dengan memulihkan kembali sektor pekerjaan manakala sektor perbankan pula perlu kembali kepada fungsi asal mereka iaitu sebagai pemberi pinjaman daripada terlalu menumpukan kepada melakukan pelaburan dalam urusniaga yang menguntungkan.

Negara kuasa besar ekonomi seperti AS, Jepun dan negara-negara Eropah dijangka lebih terkesan dan mungkin berlarutan akibat kemelesetan ekonomi kali ini.

Iklim pertumbuhan ekonomi dunia dijangka hanya berlegar di paras satu peratus tahun depan dan negara-negara maju pula dijangka akan mengalami pertumbuhan sekitar 0.1 peratus.

Pertumbuhan ekonomi AS akan menguncup kepada 0.9 peratus pada tahun depan manakala ekonomi Jepun kepada 0.1 peratus.

Negara-negara di Eropah pula akan mengalami pertumbuhan sekitar 0.5 peratus.

Bagaimanapun keadaan dijangka semakin pulih pada 2010 dengan pertumbuhan dijangka meningkat sebanyak 1.6 peratus di AS, Eropah 1.2 peratus dan negara ekonomi kedua terbesar dunia, Jepun pula meningkat kepada 0.6 peratus.

Berkemungkinan suasana ekonomi dijangka menjadi lebih baik sedikit pada suku ketiga dan keempat tahun depan.

Ini kerana kadar inflasi akan lebih sederhana dan dibantu dengan stimulasi makro ekonomi tambahan yang diperlukan setelah pemotongan cukai diberikan kepada mereka yang dibebani masalah hutang sekali gus mencergaskan kembali pergerakan ekonomi.

Ketika ini pelbagai langkah dilakukan di kebanyakan negara bagi memulihkan ekonomi mereka terutama dalam industri perbankan seperti melaksanakan suntikan dana dan jaminan kredit bagi menstabilkan semula kedudukan bank- bank bagi memulihkan semula operasi pinjaman.

Dalam pada itu pengumuman Bank Dunia untuk meneruskan komitmen mereka membantu negara-negara yang terpalit dalam masalah ini sedikit sebanyak melegakan banyak pihak.

Jaminan komitmen untuk meneruskan usaha pelan pemulihan dengan bantuan dana sebanyak AS$100 bilion dalam tempoh tiga tahun dijangka akan melindungi negara-negara miskin dan negara-negara yang berhadapan dengan masalah belanjawan dalam negara yang merudum serta membantu mengekalkan pelaburan jangka panjang yang diperlukan dalam usaha pelan pemulihan dan pembangunan semula.

Pelan pemulihan ini perlu dilakukan secara selari oleh semua negara terlibat bagi meringankan beban yang ditanggung serta memudahkan lagi proses pemulihan.

Dengan pelaburan asing yang dijangka semakin berkurangan dari AS$1 trilion (RM3.5 trilion) tahun lepas kepada AS$530 bilion (RM1.8 trilion) tahun depan adalah sangat perlu semua negara yang terlibat memainkan peranan secara bersama bagi mengatasi kesan yang lebih teruk.

Tempias

Krisis kewangan ini yang bermula di AS akibat dari krisis sub prima namun tempias yang diterima merebak dengan pantas terutama di negara membangun.

Oleh itu Sidang Kemuncak G20 membabitkan negara-negara ekonomi besar dunia yang akan berlangsung di Washington hari ini diharapkan akan menghasilkan beberapa keputusan positif untuk kelangsungan iklim ekonomi dunia.

Sidang kemuncak yang dijadual berlangsung selama dua hari ini turut dibayangi kemerosotan pengaruh Presiden George W. Bush kerana pemimpin dunia sudah pun memandang ke hadapan kepada majlis angkat sumpah bakal Presiden pertama dari golongan kulit hitam, Barack Obama sebagai Presiden AS ke-44 pada 20 Januari ini.

AS dijangka akan mengadakan perbincangan panjang lebar mengenai punca krisis, tindakan jangka pendek yang perlu diambil, tindakan jangka panjang yang perlu dipertimbangkan dan paling penting, persetujuan mengenai prinsip-prinsip asas pembaharuan.

Sidang kemuncak kedua dijangka diadakan sekitar suku pertama tahun depan, kemungkinan besar selepas Obama mengangkat sumpah jawatan.

Pemimpin-pemimpin dunia diharap dapat membincangkan jalan terbaik bagi menangani krisis ekonomi global dan pembaharuan yang perlu dilakukan bagi mencegah berulangnya krisis.

Sekurang-kurangnya dunia masih dalam suasana meraikan kemenangan Obama yang dilihat sebagai satu ikon pembaharuan dalam politik dunia dan adalah diharapkan pemulihan ekonomi dunia kali ini dapat disusun dan digarap menjadi lebih adil dan saksama untuk dikongsi oleh semua negara di dunia.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm

No comments:

Post a Comment